Chairman’s Message Kata Alu-Aluan

Dr Mohamad Maliki Bin Osman
Minister in the Prime Minister’s Office
and Second Minister for Education and Foreign Affairs
Chairman, MLLPC

Salam sejahtera dan selamat datang ke laman rasmi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC)!

Sejak awal 2020, masyarakat dunia terpaksa menyesuaikan diri dengan norma-norma kehidupan yang baharu akibat pandemik Covid-19. Dengan keadaan yang kita hadapi sekarang, cara masyarakat Singapura meraikan pembelajaran Bahasa Melayu juga harus berubah. Selaku Pengerusi MLLPC, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam usaha menggalakkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku untuk menjadi lebih fleksibel dan kreatif dalam merancang dan mengendalikan program-program pada masa hadapan. Kita harus sentiasa mempunyai pemikiran terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu, meneroka platform-platform yang memaksimumkan ketersediaan teknologi dan mengadaptasi cara pengendalian program.

MLLPC akan sentiasa mengusahakan pembelajaran dan penggalakan penggunaan bahasa Melayu melalui program-programnya termasuklah progam unggul seperti Perkasa Warisan dan Fiesta Bahasa. Program ini dapat meningkatkan penghargaan terhadap bahasa dan budaya Melayu dengan menggunakan pendekatan interaktif dan menarik. Selain daripada itu, bagi membangkitkan minat dan mendorong mendorong para pelajar untuk terus membaca, MLLPC telah menerbitkan siri bacaan Nabil Nabilah untuk peringkat sekolah rendah (P1 hingga P6) dan prasekolah (K1 dan K2). Seiringan dengan usaha ini, MLLPC juga menyediakan dana untuk badan-badan pertubuhan bagi menjalankan projek yang berkaitan dengan bahasa dan budaya Melayu.

Bagi tempoh Kewangan 2021 hingga 2025, MLLPC telah mendapat tokokan dana tambahan. MLLPC menanamkan iltizam untuk menggiatkan lagi usaha agar penggunaan dan penghargaan terhadap bahasa Melayu dalam masyarakat kita dapat dipertingkat pada masa hadapan.

MLLPC akan terus memberikan sokongan, baik dalam bentuk pendanaan mahupun kepakaran kepada sekolah-sekolah, institusi pascamenengah dan pertubuhan-pertubuhan setempat yang ingin mengendalikan program-program yang memupuk kecintaan dan penghargaan terhadap bahasa ibunda dan warisan budaya. Usaha murni ini juga disokong kuat oleh agensi-agensi seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura, Lembaga Warisan Negara, Majlis Seni Kebangsaan, Taman Warisan dan Lembaga Perpustakaan Negara. Kami mengalu-alukan idea-idea baharu dan kreatif anda dan bersedia untuk mempertimbangkannya.

Aspirasi kami ialah supaya bahasa Melayu terus relevan dan dinamik dan terus menjadi kebanggaan masyarakat dan negara. Saya berharap agar usaha bersama ini akan merancakkan lagi semangat dan usaha untuk menjadikan aspirasi ini satu kenyataan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong MLLPC dalam usaha untuk sama-sama memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Pohon kelapa tumbuh berjajar,
Berjajar akrab sepanjang pantai;
Mohon semua terus belajar,
Bahasa mantap, minda pun pandai.

Cari sutera dibeli kasa,
Cantik kebaya mari peraga;
Ayuh kita perkasa bahasa,
Agar warisan terus terjaga.


Sekian, terima kasih.

Dr Mohamad Maliki Bin Osman
Menteri, Pejabat Perdana Menteri
dan Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar
Pengerusi MLLPC

Go top